Saturday 15 June 2013

Hashtag #sgbumbun sudah ada.


Facebook juga telah meniru seperti Twitter dengan kewujudan hashtag (#). Dan Facebook Sg Bumbun juga akan menwujudkan satu hashtag sg bumbun iaitu #sgbumbun. 

Kepada semua pengguna akaun FB group SgBumbun dan Page Sg Bumbun bolehlah hashtagkan sgbumbun ye. :)

Sunday 3 March 2013

Kejohanan Bola Sepak Piala Aik Moyang

Berakhir sudah Kejohanan Bola Sepak Piala Aik Moyang di Sg Bumbun dan pasukan yang menjadi johan pada kali ini adalah pasukan Loq Apieq United. Loq Apieq itu bermaksud kayu api. Kenapa pilih nama kayu api? Mungkin kayu api ini pernah digunakan pada zaman dulu. Masa itu tong gas tak wujud lagi.

Apa pun kejohanan pada kali ini memang terbaik kerana di padang sudah ada tiang gol besi. Sebelum ini tiang gol hanya buluh. Dan pengurusan juga amat baik. Tahniah kepada semua pihak yang turut bersama-sama menjayakan kejohanan pada kali ini seperti Ketua Pemuda Umno Kuala Langat, JAKOA, Pejabat Agama Islam Kuala Langat, Belia 4B (M) Kuala Langat dan semua sekali yang terlibat. 

Semoga ia dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. 

MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA

Thursday 28 February 2013

BR1M 2.0 di Sg Bumbun

Ini bukan Bersih 2.0 atau Nasi Lemak 2.0. Ini adalah BR1M 2.0. Apa cerita semua penduduk kampung? Gembira dapat duit bantuan RM500 (untuk yang dah kahwin) dan RM250(untuk bujang)? Moga anda semua dapat gunakan sebaik mungkin duit BR1M itu ya.

Bukan setakat dapat duit bantuan. Anda juga dapat makan pagi dan tengahari secara percuma. Terima kasih kepada pihak JAKOA Ibu Pejabat, Negeri dan Daerah Kuala Langat kerana bertungkus lumus menjayakan program ini. Program ini turut dihadiri Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu YB Dato' Haji Hasan Bin Malek yang turut bersama-sama menyampaikan baucar BR1M kepada penduduk kampung. Program ini turut disertai agensi lain seperti JPN dan Kementerian Kesihatan. 

Bukan itu sahaja, ada juga cabutan bertuah. Bertuah sungguh penduduk kampung. Sudah diberi makanan percuma, malah ada cabutan bertuah pula. Tapi yang tak dapat tu tak bertuahlah ya. Hadiah utama tu sebuah TV LCD. Siapa penerimanya tidak pula saya ketahui. 

Berikut adalah gambar yang sempat saya tangkap semasa penduduk berkerumun di bilik BSN bagi menukar baucar kepada tunai. Sabar. Nanti semua dapat. Kalau tak dapat tunai tu, boleh pergi ke mana-mana bank cawangan seperti BSN, Maybank dan CIMB untuk ditunaikan. 


Semoga penduduk kampung dapat gunakan duit itu sebaiknya. 



Tuesday 26 February 2013

Oh Padang 2

Akhirnya parit di tepi kawasan padang telah dikorek agar air mudah  mengalir keluar. Pengorbanan semua penduduk kampung dengan menderma akhirnya berbalas juga. Tak sia-sia mereka menderma. 

Gambar di bawah menceritakan segala-galanya. Gambar di bawah ini adalah gambar sebelum parit dikorek. Air sangat penuh. Kekerapan hujan turun juga menambahkan isipadu air di parit tersebut sehingga tak dapat ditampung lagi. 


Gambar seterusnya setelah parit dikorek di sebelah kanan gambar ini. Air mula surut kerana air telah mengalir ke arah parit ladang kelapa sawit. Terasa hati sangat puas. 



Ada pulak orang letak bubu kat parit tu
Terima kasih buat semua penduduk kampung kerana bersama-sama berganding bahu menjayakan misi kali ini. Ternyata pergorbanan penduduk kampung amat berbaloi. Terima  kasih sekali lagi.

MAJULAH PADANG UNTUK KAMPUNG.

p/s: Kenapa tajuk entri Padang 2? Ok, sebab sudah ada entri mengenai padang sebelum ini. Oh Padang...

Saturday 23 February 2013

Sgbumbun sudah ada kotak komen Facebook

Buat semua penduduk Kg Sg Bumbun, laman blog ini sudah mempunyai komen Facebook. Sekiranya anda ingin meninggalkan komen di blog ini, anda boleh lakukan di laman ini menggunakan platform Facebook.

Jadi segala komen, pendapat, kritikan dan sebagainya bolehlah anda tinggalkan di kotak komen Facebook.

Selamat Mencuba.

p/s: Di bawah kotak komen ini ada 'post to facebook'. Jika anda mahu komen anda muncul di facebook, boleh tick di kotak tu. Jika anda tak mahu komen anda muncul di facebook, hanya jangan tick ye.


Friday 22 February 2013

Blog Sg BumbunKini sudah ditukar

Berita terbaru. Laman blog Kg Sg Bumbun iaitu SgBumbunKini telah ditukar kepada Sgbumbun.blogspot.com. 

Setelah lama nama blog sgbumbunkini digunakan. Maka hari ini nama laman blog ini telah ditukar. Sebab-sebab ditukar adalah untuk  memudahkan carian nama sg bumbun di google

Apa pun selamat datang ke laman blog SgBumbun.

Monday 18 February 2013

Oh Padang Sungai Bumbun. Sampai bila?

Pada masa dahulu, di Kampung Sungai Bumbun memang ada padang bola sepak iaitu di belakang surau. Menurut maklumat dari orang lama, padang di situ memang besar. Orang muda pada masa itu memang kerap main bola. Tapi, entah bagaimana tiba-tiba kawasan padang itu telah ditanam pokok kelapa sawit. Salah siapa? 

Sejak pada itulah Kampung Sungai Bumbun tiada kemudahan padang bola sepak. Kami anak-anak muda pada masa itu memang kehausan bermain bola sepak. Pada masa itu ada sebuah padang tapi tak dipanggil padang. Padang itu terletak di kebun orang yang dikelilingi pokok kelapa sawit. Sudah gian apatah lagi ketagih, kami main sahaja. Sampai kotor baju sebab kena abu tanah. 

Kami tak pernah mengalah. Kami main pula di padang Simpang Lima, Pulau Carey biarkan penduduk berdekatan dengan kawasan padang itu majoritinya orang India. Orang semacam pelik kami ketiadaan kemudahan padang tapi kami ada pasukan bola sepak.  Kadang-kadang pasukan kami menang dalam perlawanan persahabatan dan begitu sebaliknya. 

Begitu lama kami tiada padang akhirnya hasil idea seorang anak watan telah membawa membina sebuah padang bola sepak di kawasan tinggalan kompleks pelancongan orang asli. Sebab-sebab kompleks itu dirobohkan tidak pula saya ketahui. Pada masa itu Encik Azlan Sap mencadangkan kawasan itu dibangunkan dengan pembinaan padang bola sepak. Pada mulanya memang sukar kerana keadaan kawasan pada masa itu memang penuh bersemak. Rumput memang tinggi. Berkat usaha sedikit demi sedikit dengan bantuan para remaja kampung maka lahirlah padang yang diidam-idamkan selama ini.

Masih teringat Encik Azlan (haha Encik..) membakar sedikit demi sedikit rumput kering yang telah lama disembur racun. Jika dibiarkan memang akan api akan melarat ke kawasan kebun orang. Pada masa itu hanya saya, Azlan, Azami dan Ermizan yang membakar rumput dan mengawal kebakaran tersebut. Masih juga teringat ada remaja membakar sebahagian rumput. Melihat perbuatan remaja itu menandakan mereka memang inginkan sebuah padang bola sepak. Ternyata usaha mereka tak sia-sia. Maka, wujudlah sebuah padang yang sekangkang kera. Lama-kelamaan, keluasan diperluaskan dengan bantuan orang kampung. Semua orang bersemangat.

Padang bola sepak terkini (17/02/2013)

Dan kini, padang itu masih wujud. Cuma melakukan sedikit modifikasi. Tambahkan tanah agar ia akan tinggi sedikit agar senang air tidak bertakung dan mudah air mengalir keluar.  Timbus kawasan yang bertadah air. Tak kan selamanya kami bermain lumpur. Hujan pula kerap turun sejak akhir-akhir ini. Di bahagian berdekatan dengan jalan penuh dengan batu. Luka itu perkara biasa dan kami kerap beli kasut bola baru kerana kasut memang cepat rosak. Tapi, tak selamanya kami mahu  begitu. Kami inginkan perubahan. Kami melakukan sedikit perubahan ke atas padang ini menggunakan duit derma dari orang kampung. Kami ingin mengorek parit untuk memudahkan air mudah mengalir keluar. Itu pun kami mendapatkan kutipan derma dari orang kampung untuk mengorek parit. Anda lihat jika parit ini tidak dikorek?



Inilah hadiah yang kami dapat jika parit tidak dikorek. Air di parit besar ini bertakung tanpa mengalir keluar. Sekarang musim hujan kerap turun, memang penuhlah air di parit besar ini. Tak dapatlah kami melakukan aktiviti riadah harian. Apa yang kami boleh lakukan?


Dan lagi, tambahkan tiang gol besi menggantikan tiang gol buluh. Sudah setahun tiang itu berbakti pada orang kampung. Ia perlu ditukar. Kami anak muda ketandusan bermain bola sepak. Kami inginkan padang yang lengkap. Memang kami amat memerlukan sebuah padang. Itulah harapan semua penduduk Kampung Orang Asli Sg Bumbun,Pulau Carey. Siapa mahu dengar suara minoriti kami ini?

Lihat gambar di bawah ini. Dapatkah anda bertahan seperti kami?

Keadaan kaki mendiang Yohan yang terjatuh ketika bermain bola.

Lihat foto di atas, kaki mendiang Yohan luka ketika bermain bola di padang yang penuh dengan batu-batu yang tajam. Memang sakit. Itulah risiko yang bakal kami tempuhi seharian. Beliau telah meninggal dunia. Tak dapat dia merasa padang yang lengkap. Apa pun, kami dapat  bermain bersama beliau sebelum beliau pergi.

Tolonglah wahai JAKOA. Dengarlah suara kami. Kami penduduk kampung amat berharap adanya padang awam.

Kami? Belia dan Semua Penduduk Kampung Sg Bumbun. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...